MAYAT mangsa kedua kejadian lemas ditemukan. FOTO ihsan Maritim
MAYAT mangsa kedua kejadian lemas ditemukan. FOTO ihsan Maritim
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Mayat mangsa kedua kejadian lemas di Pantai Batu Layar, di sini, ditemukan pada jam 3.20 petang hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mayat Muhammad Hibatullah Hakim Razak, 23, ditemukan terapung berhampiran kawasan pantai.

Beliau berkata, berikutan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 5.40 petang.

Menurutnya, mayat dibawa ke jeti Lembah Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Sepang dan diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya menghargai kerjasama polis, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Perbandaran Pengerang dan orang awam yang membantu bagi mencari mangsa.

"Kami menasihati orang ramai supaya mengutamakan keselamatan termasuk ketika berkelah berikutan perubahan cuaca," katanya.

Dalam kejadian 10.30 pagi semalam, dua rakan yang bercuti di Pantai Batu Layar lemas.

Mayat mangsa pertama, Muhammad Hariz Farhat Omar, 23, ditemukan orang ramai semalam.

Seorang lagi rakan mereka, Bonny Meranat, 42, terselamat dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 10:26 PM