PAS.
PAS.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Umno Kelantan menggesa Pas membuat keputusan jelas sama ada mahu bekerjasama dengan Umno atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Itu antara empat perkara yang diputuskan Umno Kelantan selepas mengadakan mesyuarat yang dihadiri 12 bahagian daripada 13 bahagian di Kelantan, semalam.

Setiausaha Umno Kelantan, Akbar Salim berkata, selain itu, pihaknya bersetuju supaya parti itu memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Bersatu.

Pada masa sama katanya, pihaknya beranggapan, pendirian yang dibuat oleh Umno Bahagian Ketereh terhadap Ahmad Zahid sebelum ini sebagai kes terpencil, kerana tidak melalui Badan Perhubungan Umno negeri.

"Selain itu, Umno Kelantan terus mendukung institusi kepresidenan dan menyokong kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti yang dipilih secara demokrasi," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Umno Bahagian Ketereh menghantar surat kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pendirian mereka menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Tan Sri Annuar Musa dipetik berkata, surat dihantar menerusi emel kepada Datuk Seri Ahmad Maslan pada petang Sabtu sebelum Setiausaha Agung Umno itu menyerahkannya kepada Ahmad Zahid pada Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 4:52 PM