Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Guru agama lelaki berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual terhadap pelajarnya berusia 15 tahun.

Tertuduh membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan antara 20 November 2020 hingga 14 Mac lalu di sebuah rumah di Teluk Kumbar, di sini.

Dia berdepan satu dakwaan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan dua dakwaan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Guru agama lelaki berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual terhadap pelajarnya berusia 15 tahun. FOTO MIKAIL ONG
Guru agama lelaki berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual terhadap pelajarnya berusia 15 tahun. FOTO MIKAIL ONG

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh menghampiri mangsa.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabila Huda Muhammad Nazim manakala tertuduh diwakili peguam, Md Yusuf Md Idris.

Kes akan disebut semula pada 26 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 2:08 PM