AL-Sultan Abdullah (tengah) dan Permaisuri Agong bersama Tengku Puteri Iman Afzan (kanan)
AL-Sultan Abdullah (tengah) dan Permaisuri Agong bersama Tengku Puteri Iman Afzan (kanan)
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penaung Antarabangsa bagi Hari Kesihatan Mental Sedunia, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah telah mengasaskan perusahaan sosial yang dinamakan, Green Ribbon Group untuk membantu menggerakkan agenda kesihatan mental di Malaysia.

Green Ribbon Group dalam kenyataan hari ini berkata, penubuhan itu bertujuan memperkasakan pihak berkepentingan yang terbabit dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan mental monumen yang sedang dihadapi rakyat ketika ini dalam mewujudkan penyelesaian yang berdaya maju melalui advokasi, pengumpulan dana dan kerjasama.

"Tengku Puteri Iman Afzan bersemangat dan komited dalam mempromosikan kesihatan mental.

"Beliau percaya, kini lebih daripada sebelum ini, bahawa akses kepada penjagaan kesihatan mental adalah asas dalam memastikan kesejahteraan masyarakat kita untuk generasi akan datang, memandangkan peningkatan tekanan, kebimbangan dan kemurungan daripada isu-isu sosio ekonomi yang dihadapi oleh semua akibat pandemik Covid-19," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, media melaporkan Tengku Puteri Iman Afzan dilantik sebagai Penaung Antarabangsa bagi Hari Kesihatan Mental Sedunia selepas menerima jemputan daripada Persekutuan Kesihatan Mental Dunia baru-baru ini.

Naungan diraja Tengku Puteri Iman Afzan itu hingga Oktober 2021.

Menurut kenyataan itu, Tengku Puteri Iman Afzan, yang juga puteri sulung Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menyampaikan pin riben hijau yang direka semula, kepada pemimpin dalam pelbagai bidang bagi membantu meningkatkan kesedaran dan penyertaan positif dalam advokasi kesihatan mental.

Penerima pin tersebut termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid dan ratu terjun negara, Pandelela Rinong.

"Malaysia mempunyai peluang unik untuk menyumbang kepada standard global dalam penjagaan kesihatan mental dan ini bermula dengan kesedaran negara dan institusi yang terlibat di sini," Tengku Puteri Iman Afzan dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, usaha Tengku Puteri Iman Afzan telah diiktiraf Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 5:17 PM