Azman (kiri) berbincang Che Hassan (kanan) berkaitan penjualan terbuka alat proses syabu dan patung seks dalam talian. FOTO Saifullizan Tamadi
Azman (kiri) berbincang Che Hassan (kanan) berkaitan penjualan terbuka alat proses syabu dan patung seks dalam talian. FOTO Saifullizan Tamadi
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Jual barangan terlarang di platform online. Perkara itu dikesan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima aduan daripada orang ramai mengenai kewujudan beberapa barangan larangan secara terbuka.

Ia termasuklah peralatan memproses syabu dan patung seks yang dijual secara terbuka sehingga menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Che Hassan Che Johan berkata, pihaknya menerima aduan daripada ibu bapa yang khuatir barangan terbabit dapat dibeli dengan mudah secara dalam talian.

Katanya, penjualan barangan terlarang itu turut disediakan menerusi Dark Web bagi mengaburi mata pihak berwajib kerana ia tidak dibenarkan mengikut undang-undang.

"Kita boleh lihat barangan seks dijual secara atas talian dan boleh didapati dengan mudah.

"PPMM juga bimbang dengan keadaan ini kerana jika tidak dikawal, sudah pasti akan menjadi masalah kepada golongan remaja yang terkenal dengan sifat ingin tahu," katanya ketika mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah di ibu negara hari ini.

Che Hassan berkata, isu terbabit akan dibawa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam masa terdekat.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya juga menerima aduan sama daripada orang ramai berhubung kebanjiran produk 'kurang sesuai' untuk kanak-kanak di platform online.

Katanya, setakat ini terdapat lebih 30 aduan diterima GTPM dan menyebabkan dia terpanggil untuk memberikan kenyataan bersama ini.

"Kita mahu satu peraturan khusus dikeluarkan kepada penjual sama ada untuk melabelkan klasifikasi barangan atau bagaimana.

"Pendedahan yang terlalu terbuka terutama kepada benda-benda terlarang hanya akan merosakkan masa depan remaja kita," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai membuat laporan kepada KPDNHEP, polis atau Cyber Security sekiranya menemui barangan terlarang.

"KPDNHEP akan terus membantu agensi terbabit untuk membendung penjualan secara terbuka barangan terlarang ini yang dibimbangi boleh merosakkan moral golongan remaja terutama pelajar sekolah dan mewujudkan suasana tidak sihat dalam kalangan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 4:57 PM