GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil

Seremban: Semua murid dan warga sekolah di sebuah sekolah kebangsaan di Rasah, di sini, yang disaring susulan seorang murid tahun lima sekolah itu dijangkiti Covid-19, menunjukkan keputusan negatif.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Md Fiah Md Jamin berkata, seramai lapan guru, 91 murid dan seorang pemandu van sekolah disaring pada Ahad lalu.

Katanya, daripada jumlah disaring berkenaan, seramai 63 orang dikesan sebagai kontak rapat kepada kes dijangkiti Covid-19 dan dikategorikan sebagai Pesakit Dalam Pemantauan (PUS).

"Manakala selebihnya turut diarah menjalani kuarantin dan Alhamdulillah, keputusan untuk saringan calitan Covid-19 pertama dilakukan itu adalah negatif.

"Kita teruskan berdoa agar semuanya sihat. Sekolah sentiasa mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) ketat dan ia banyak membantu mengekang penularan wabak ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau mengulas seorang murid tahun lima sebuah sekolah di Rasah dijangkiti Covid-19, Rabu lalu dan difahamkan murid berkenaan menjadi kontak rapat kepada ibunya yang juga disahkan positif.

Susulan itu, tindakan drastik diambil JPNS dan pihak sekolah dengan mengarahkan semua warga sekolah berkenaan termasuk guru menjalani saringan Covid-19.

Md Fiah berkata, pihaknya akan memastikan semua pihak terus kekal dengan pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga murid dinasihatkan supaya memantau kesihatan anak masing-masing dan jika anak mereka didapati tidak sihat, tidak perlu menghantar ke sekolah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 4:55 PM