Aizat Sharif

Kangar: Seorang peniaga dalam talian didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memiliki bagi maksud memperdagangkan jersi dan seluar tiruan.

Hakim Musyiri Peet memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Yeo Khang Yau, 27, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Yeo dituduh memiliki 2,040 helai jersi dan 172 helai seluar tiruan bagi maksud perdagangan di sebuah premis di No 10, Jalan Bukit Kaya 6, Taman Bukit Kaya, Kangar, 11 Mac 2020.

YEO Khang Yau dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kangar selepas diarahkan membayar denda RM80,000 kerana memiliki dan menjual jersi tiruan. FOTO Aizat Sharif
YEO Khang Yau dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kangar selepas diarahkan membayar denda RM80,000 kerana memiliki dan menjual jersi tiruan. FOTO Aizat Sharif

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dituduh mengikut Seksyen 100 akta sama, yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan pertama.

Manakala bagi sabit kesalahan kedua, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Roslina Idris manakala tertuduh diwakili peguam Pyara Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 1:49 PM