GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di negeri ini, didapati masih rendah, hanya kira-kira 20 peratus berbanding sasaran 1.76 juta penduduk yang dijangka menerima suntikan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, berikutan itu kerajaan negeri mengambil beberapa pendekatan bagi memastikan lebih ramai penduduk mendaftar sebagai penerima vaksin berkenaan.

"Kita akan menguar-uarkan mengenai pendaftaran ini di masjid selain terdapat sukarelawan yang akan membantu mendaftar penduduk di kawasan kurang capaian internet.

"Orang ramai masih boleh mendaftar terus di aplikasi MySejahtera dan talian hotline 1800 888 828 atau di laman web www.vaksincovid .gov.my.

"Dengan adanya imuniti kelompok pada tahap 70 ke 80 peratus populasi, diharap jangkitan Covid-19 dapat dikurangkan dan seterusnya wabak ini akan hilang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, dalam keadaan kes Covid-19 di Kedah yang masih belum reda, pihaknya turut berharap agar rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan pandemik.

Katanya, ia ditambah pula dengan wujudnya kluster baharu iaitu kluster Bunga Tanjung Bendahara di Alor Setar yang memerlukan masyarakat lebih berwaspada.

"Selain itu, menjelang Ramadan pasti semua umat Islam mahu bertarawih di masjid dan surau, kita tidak akan halang orang ramai beribadah sekiranya kes tidak berterusan naik.

"Disebabkan itu, orang ramai diminta menjaga kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) supaya ia tidak bertukar sehingga mengehadkan pergerakan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 1.76 juta penduduk Kedah dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat mulai Ahad ini sehingga Februari 2022.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, jumlah itu adalah meliputi jangkaan vaksinasi ke atas kira-kira 80 peratus penduduk dan pekerja bukan warganegara yang berada di negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 10:40 AM