FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mohd Roji Kawi

Petra Jaya: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dijangka bermesyuarat Jumaat ini bagi memuktamadkan keputusan sama ada bazar Ramadan dibenarkan atau tidak di kawasan pentadbirannya.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, berikutan kes positif Covid-19 yang masih tinggi, Sarawak belum memutuskan operasi bazar Ramadan walaupun kerajaan Persekutuan sudah mengumumkan untuk membenarkannya.

Beliau berkata, perbincangan secara ringkas mengenai perkara itu sudah dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sebelum ini.

"Namun keputusan muktamad akan dibuat selepas kami mendapat laporan penuh daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, selewat-lewatnya Jumaat depan," katanya pada sidang media selepas melawat Bilik Operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bintawa, di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman berkata, dalam perbincangan awal sebelum ini, DBKU merancang untuk membuka tiga lokasi bazar Ramadan iaitu di Kubah Ria, Sukma Ria dan Jalan Semarak.

Bagaimanapun katanya, DBKU turut menerima permohonan untuk membuka bazar Ramadan di beberapa lokasi lain antaranya di Bandar Baru Samariang dan Demak Laut.

Terdahulu, Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menyerahkan sumbangan makanan asas kepada penduduk Kampung Bintawa Ulu dan Kampung Bintawa Tengah.

Sumbangan itu disalurkan beberapa pihak termasuk dari Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai, Pusat Khidmat Parlimen Santobong, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dua kampung berkenaan yang mempunyai seramai 769 ketua isi rumah merangkumi 4,064 orang penduduk kini sedang menjalani PKPD.

Katanya lagi, hampir 80 peratus iaitu seramai 3,759 daripada 4,064 penduduk di dua kampung itu sudah menjalani pengesanan kes aktif (ACD) Covid-19.

"Sehingga kini, sebanyak 50 kes positif dikesan di kedua-dua kampung itu, katanya sambil memaklumkan tiada insiden tidak diingini berlaku sejak PKPD 14 hari dikuatkuasakan di Kampung Bintawa Ulu dan Bintawa Tengah bermula16 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 4:40 PM