ANTARA lukisan dan hasil seni dipamerkan sempena hari Hari Hidupan Liar Sedunia 2021 di KL Jazz and Arts Centre ( KLJAC) di sini, bermula semalam.
ANTARA lukisan dan hasil seni dipamerkan sempena hari Hari Hidupan Liar Sedunia 2021 di KL Jazz and Arts Centre ( KLJAC) di sini, bermula semalam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Menzahirkan rasa cinta pada haiwan liar di Malaysia melalui hasil seni lukisan dan seni arca bertemakan hidupan liar dilindungi.

Itu antara objektif Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dengan kerjasama KL City Art Gallery yang menganjurkan Pameran Seni Visual 'Survival 2.0' di KL Jazz and Arts Centre ( KLJAC) di sini, bermula semalam.

Pameran lukisan bersempena sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia 2021 itu dirasmikan Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Abdul Kadir Bin Abu Hashim. Turut hadir Pengarah KLJAC, Maizon Omar.

Pameran yang dibuka kepada orang ramai sehingga 15 April hadapan secara percuma mampu meningkatkan kesedaran masyarakat dalam isu - isu perubahan iklim dan kelestarian alam (Climate Change and Sustainability ) melalui pelbagai aktiviti seni.

Jurucakap penganjur berkata, penganjuran pameran itu mampu meningkatkan pemahaman masyarakat berhubung peranan Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan PERHILITAN dalam usaha-usaha konservasi hidupan liar serta hebahan berkaitan Kempen Selamatkan Harimau Malaya.

Antara artis-artis KL City Art Gallery yang mengambil bahagian dalam pameran adalah Rafiee Ghani, Zulkefli Talha, Faizal Suhif, Jamil Zakaria, Syukur Rani, Visithra Manikam, Christine Das, Ben Chong See Wai, Elly Nor Suria, Alias Yusof, Meriam Omar, Khalil Muhsein, Mary Ann, Shaq Koyok, Brandon Ritom, Rachel Gray dan Poojitha Menom.

Sejumlah 48 karya seni visual dari 17 artis yang mengambil bahagian dipamerkan dari pelbagai gaya lukisan hingga pelbagai karya media 2 dimensi dan pemasangan arca.

"Hasil karya seni ini dijual kepada orang ramai dan sebahagian daripada hasil penjualan karya seni ini akan disalurkan ke dalam Tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya.

"Kempen Selamatkan Harimau Malaya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pemuliharaan Harimau Malaya yang diancam kepupusan. Kempen ini merangkumi program konservasi dan penguatkuasaan, kesedaran awam,publisiti dan promosi," katanya.

Dalam masa sama Jabatan PERHILITAN menyeru semua pihak untuk berganding bahu menyelamatkan Harimau Malaya melalui pelbagai inisiatif yang dijalankan. Layari laman web www.harimau.my untuk bersama-sama membantu menyelamatkan Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 4:35 PM