Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pelancaran Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) membuktikan kesinambungan usaha kerajaan membantu rakyat dan memulihkan sektor ekonomi negara selepas setahun mengharungi cabaran Covid-19.

Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Abdul Rahim Abdul Samad berkata, Pemerkasa satu lagi program komprehensif di bawah enam Strategi Pemulihan Ekonomi Negara yang memberikan tumpuan lebih kepada melindung, memulih dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan negara daripada kesan pandemik berkenaan.

"Pemerkasa ini satu pengumuman yang luar daripada norma biasa apabila mendokong tiga matlamat utama iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara.

"Boleh dikatakan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada Pemerkasa terutama golongan kehilangan pekerjaan, B40 serta orang kurang upaya (OKU) dalam meringankan beban mereka meneruskan kelangsungan hidup.

"Selain itu, Pemerkasa ini juga tidak meminggirkan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro apabila memberikan pelbagai fokus dan inisiatif baharu bagi menjamin kelangsungan dan pemulihan perniagaan mereka," katanya.

Katanya lagi, ketahanan ekonomi mampu dicapai menerusi Pemerkasa.

"Ia menunjukkan bagaimana kerajaan bersungguh-sungguh meletakkan keutamaan melindungi rakyat dan memulihkan ekonomi melebihi perkara lain.

"Justeru, semua pihak harus memanfaatkan peluang ini dan bersatu dalam mendepani cabaran dialami rakyat, peniaga dan prestasi ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19 ini," katanya.

PEMERKASA ini juga tidak meminggirkan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro apabila memberikan pelbagai fokus dan inisiatif baharu bagi menjamin kelangsungan dan pemulihan perniagaan mereka. FOTO BERNAMA
PEMERKASA ini juga tidak meminggirkan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro apabila memberikan pelbagai fokus dan inisiatif baharu bagi menjamin kelangsungan dan pemulihan perniagaan mereka. FOTO BERNAMA

Sementara itu, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon berkata, pelbagai suntikan bantuan dan inisiatif di bawah Pemerkasa akan memulihkan kembali ekonomi pengusaha terbabit yang terjejas akibat Covid-19.

"DPMM bersedia menjadi penghubung antara PKS dengan Bank Negara Malaysia (BNM) termasuk institusi kewangan dan agensi berkaitan di Malaysia demi manfaat usahawan Melayu khususnya ahli DPMM dalam aspek pinjaman dan kemudahan bantuan dan pemulihan bersasar.

"Selain itu, dana pembiayaan tambahan RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit juga membantu 960,000 syarikat PKS di seluruh negara, sekali gus merancakkan kembali transaksi perniagaan usahawan B40 dan M40," katanya.

Menurutnya, inisiatif MyDigital dan pelan tindakan sehingga 2030 juga dilihat selari dengan fokus DPMM memperkasakan usahawan Melayu dalam bidang digital dan e-dagang melalui program Dewan Digital.

"Ini kerana kita melihat trend perniagaan berubah ke arah platform e-dagang ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan permintaan terhadap perniagaan dalam talian ini semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 2:35 PM