TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan kerajaan setuju menyalurkan secara langsung bantuan khas berjumlah RM260 juta kepada semua kerajaan negeri.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan berkenaan akan diagihkan secara sama rata, iaitu RM20 juta kepada setiap negeri untuk pelaksanaan segera projek-projek kecil bagi memulihkan ekonomi setempat di peringkat akar umbi.

"Projek-projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ini termasuklah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan awam, serta penyelenggaraan premis perniagaan bagi memastikan peniaga kecil dan penjaja mempunyai persekitaran kondusif untuk berniaga di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Demi keprihatinan kerajaan kepada rakyat, beliau berkata kerajaan telah menambah peruntukan bagi projek berskala kecil pada tahun 2021 melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi terus merancakkan aktiviti projek-projek berskala kecil di peringkat negeri dan akar umbi.

Menurut Tengku Zafrul, pengagihan bantuan khas di bawah PEMERKASA itu selaras dengan pengumuman pakej berkenaan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 1:54 PM