GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kanak-kanak dan warga emas tidak digalakkan untuk menonton perlawanan bola sepak di stadium kerana mereka dianggap golongan berisiko dan mudah terdedah dengan wabak Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, buat masa ini tiada undang-undang khusus untuk menghalang golongan terbabit untuk memasuki stadium namun pihaknya berharap saranan itu dapat dipatuhi.

Katanya, pihaknya kini mengambil langkah berhati-hati untuk meyakinkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa pemain ke-12 itu kini sudah boleh kembali ke stadium.

"Kanak-kanak tidak digalakkan, begitu juga mereka yang berusia 60 tahun keatas. Ini kumpulan mudah (dijangkiti) dan terdedah (dengan risiko). Saranan ini diberikan kerana buat masa ini tiada undang-undang yang boleh menghalang mereka untuk pergi.

"Saya mahu yakinkan MKN dan KKM bahawa apa yang dikatakan saya pada mereka ini boleh jadi realiti. Sebab itu saya buat percubaan atau 'Proof of Concept (POC)' dan bawa mereka untuk lihat sendiri.

"Dalam masa yang sama, saya juga mahu lihat penonton sama ada mereka ini boleh menjaga tingkah laku (mematuhi peraturan). Mereka (penonton) boleh datang dan buktikan. Saya seorang sahaja bercakap dan yakinkan kerajaan tidak cukup," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Panel Of Experts (POE), di sini, hari ini.

Reezal turut meminta kerjasama peminat sukan berkenaan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan menunjukkan testimoni yang baik ketika perlawanan berkenaan.

"Jika mereka gagal tunjuk testimoni (yang baik) dan yakinkan pihak MKN, usaha untuk membawa masuk penonton pada perlawanan berikutnya tidak dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, POC itu sangat penting baginya terutamanya ketika perjalanan keluar masuk penonton ke stadium ketika perlawanan berlangsung.

"Ada stadium yang mempunyai dua atau tiga pagar serta ada juga pagar yang besar serta boleh buat dua laluan. Jadi semua ini akan diperhalusi oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan KBS.

"Saya akui ia bukan satu benda yang mudah, walaupun 2,000 penonton itu nampak sedikit tetapi bayangkan kalau mereka ini berada dalam keadaan berkelompok. Sudah tentu MKN dan KKM tidak benarkan.

"Perkara ini yang akan diperhalusi, namun perjuangan ini tak boleh digalas oleh MFL dan KBS atau pun saya berseorangan, tetapi ia adalah perjuangan bersama," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan MKN bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia berkuat kuasa 1 April ini.

Bagaimanapun, ia mestilah mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu 10 peratus kapasiti atau 2,000 penonton di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula adalah 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton dengan kedua-duanya membabitkan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 12:58 PM