PELAJAR golongan B40 yang terkesan akan menerima peranti terpakai.
PELAJAR golongan B40 yang terkesan akan menerima peranti terpakai.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

Kuala Lumpur: Syarikat penyedia telekomunikasi terkemuka, Digi Telecommunications Sdn Bhd mengajak rakyat negara ini untuk menyertai kempen #MyBaikHati iaitu inisiatif untuk membantu golongan B40.

  Menerusi inisiatif itu, orang ramai digalakkan mendermakan peranti terpakai sekali gus dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan.

  Melalui kempen #MYBaikHati, Digi akan mengumpul peranti terpakai seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba daripada masyarakat termasuk pelanggan serta kakitangannya untuk diperbaharui dan diedarkan kepada pelajar dalam kalangan B40.

  Kempen setahun yang dilancarkan semalam bermula di Lembah Klang dan akan dikembangkan ke seluruh negara kelak.

  Ketua Bahagian Kelestarian Digi, Philip Ling berkata, kempen #MYBaikHati ini selaras dengan komitmen Yellow Heart Digi yang bermatlamat untuk mengukuhkan usaha inklusiviti digital dan mengurangkan ketidaksamarataan di kalangan pelajar melalui akses yang setara bagi pembelajaran dalam talian.

  "Pandemik Covid-19 menekankan kepentingan akses Internet yang mampu milik serta peranti digital yang bersesuaian bagi pelajar untuk melaksanakan pembelajaran dalam talian.

  "Digi akan terus berusaha keras menambah baik kesalinghubungan Internet di seluruh negara kerana kami percaya matlamat untuk merapatkan jurang digital boleh dicapai dengan lebih cekap," katanya.

  Katanya, orang ramai yang ingin menyertai kempen ini boleh menderma dengan cara dua pilihan mudah iaitu daftar minat untuk menderma di halaman kempen Yellow Heart #MYBaikHati dan mengatur masa pengutipan peranti.

  Selain itu, katanya, pengguna juga boleh memilih kaedah lain dengan menyerahkan peranti di tempat pengumpulan terpilih Digi iaitu di Digi Store Klang atau Digi Store Cheras.

  Menurutnya, jenis peranti yang diterima adalah telefon pintar, tablet yang menyokong teknologi 4G, Chromebook

dengan Windows 8 ke atas serta komputer riba dan disarankan untuk diserahkan bersama pengecas

peranti tersebut.

  "Peranti yang diterima mestilah dalam keadaan yang masih berfungsi dan tiada kerosakan besar, manakala peranti yang tidak memenuhi syarat akan dilupuskan dengan cara yang

bertanggungjawab.

  "Kesemua peranti yang didermakan akan dinilai, dibaik pulih dan seterusnya diedarkan kepada pelajar B40 yang layak di Pusat Internet Komuniti (PIK) Digi yang terpilih," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 8:56 PM