Penonton dibenarkan masuk stadium mulai 1 April dengan SOP. FOTO NSTP
Penonton dibenarkan masuk stadium mulai 1 April dengan SOP. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan di Malaysia seperti Liga Malaysia (MFL) dibenarkan berkuat kuasa 1 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu adalah kelonggaran yang diberikan untuk sektor sukan dan rekreasi selepas Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa, 16 Mac lalu mendengar pembentangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Permohonan itu katanya, untuk membenarkan kemasukan penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan di Malaysia yang disertakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dicadangkan.

"Atas pandangan serta penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mesyuarat bersetuju untuk membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue dengan beberapa syarat.

"Untuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), 10 peratus kapasiti penonton dibenarkan atau 2,000 orang, mana-mana yang lebih rendah, dibenarkan masuk ke stadium atau venue dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

"Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang, mana-mana yang lebih rendah dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

"Bagaimanapun, semua penganjuran kejohanan dengan kehadiran penonton adalah tertakluk kepada kebenaran oleh KBS," katanya dalam sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kebenaran itu akan mula berkuatkuasa pada 1 April 2021, dengan dua perlawanan bola sepak dalam MFL yang akan dibenarkan dahulu sebagai percubaan atau Proof of Concept (POC) untuk menilai keberkesanan Protokol Pengurusan Penonton.

Di samping itu, katanya, pihak KBS, MKN dan KKM akan turut memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang ditetapkan khususnya dalam aspek pergerakan, kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan itu nanti.

"Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah seperti tiket hanya dijual secara dalam talian (online) sahaja; penjarakan fizikal minima 1.5 meter hingga 2 meter di antara setiap penonton; operasi jualan hanya dibenarkan di kedai sedia ada di kawasan stadium atau venue sahaja.

"Selain itu, pergerakan masuk dan keluar penonton secara berjadual dan tersusun. SOP terperinci pengurusan penonton boleh dirujuk di laman sesawang KBS dan MKN," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:40 PM