Sultan Selangor menzahirkan rasa sukacita apabila baginda difahamkan lebih 90 peratus petugas barisan hadapan di hospital-hospital kerajaan di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.
Sultan Selangor menzahirkan rasa sukacita apabila baginda difahamkan lebih 90 peratus petugas barisan hadapan di hospital-hospital kerajaan di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.
BERNAMA

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sukacita apabila baginda difahamkan lebih 90 peratus petugas barisan hadapan di hospital-hospital kerajaan di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Istana Alam Shah dalam satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office tadi menyatakan, Sultan Sharafuddin sentiasa mendapatkan perkembangan terkini mengenai data-data kes positif baharu dan statistik penerimaan vaksin Covid-19 daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Menurut kenyataan itu, mereka yang mendapat suntikan di hospital kerajaan terdiri daripada doktor, jururawat, pemandu ambulans, kakitangan sokongan perubatan dan hospital yang terbabit secara langsung merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19.

"Dalam pada itu, baginda juga turut difahamkan bahawa lebih daripada 50 peratus petugas barisan hadapan di hospital swasta di Selangor sudah menerima suntikan vaksin Covid-19, dan dijangkakan kesemua mereka akan menerima vaksin menjelang akhir Mac ini.

"Baginda turut berasa sukacita dan memuji petugas-petugas barisan hadapan hospital di Selangor yang melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehingga kini," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Sultan Sharafuddin mengharapkan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, petugas barisan hadapan akan dapat berkhidmat dengan lebih tenang dan selamat tanpa tekanan.

Baginda turut menasihati rakyat di negeri ini yang layak untuk menerima vaksin supaya mendaftar dengan segera melalui saluran yang ditetapkan bagi mendapatkan suntikan itu.

"Baginda mengingatkan rakyat jangan lalai meskipun sudah mendapat suntikan vaksin dan terus mematuhi amalan norma baharu serta prosedur operasi standard yang ditetapkan seperti menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal, demi mengawal perebakan COVID-19," menurut kenyataan itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:00 PM