GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Mahu membantu 'rakan' yang kononnya menjadi mangsa samun, namun malang buat seorang lelaki apabila diperdaya hingga simpanan berjumlah RM10,000 lesap.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 60 tahun menerima panggilan 'rakannya', baru-baru ini.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai pengurus cawangan sebuah syarikat mendakwa rakan itu memaklumkan beg duitnya dicuri dan mahu meminjam wang daripada mangsa.

Menurutnya, mangsa tidak sedar individu yang menghubungi itu bukan rakannya yang sebenar, sebaliknya penyamar yang berjaya meyakinkan dia hingga membuat dua pindahan wang berjumlah RM10,000.

"Mangsa hanya sedar ditipu apabila dia menghubungi rakannya untuk bertanya sama ada sudah menerima wang dipindahkan atau tidak, sebelum membuat laporan polis semalam," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, seorang promoter berusia 20 tahun berputih mata selepas terpedaya iklan menjual telefon pintar iPhone 11 di laman sosial.

Katanya, mangsa dari Taman Pauh Jaya Perai berurusan dengan mesej WhatsApp untuk membeli telefon itu pada harga RM1,900 sebelum sedar ditipu apabila tidak menerima telefon dipesan.

Bagi kedua-dua kes itu katanya, siasatan dibuat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 5:05 PM