FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Harga runcit petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada paras harga siling RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, berdasarkan trend semasa, harga minyak dunia dijangka meningkat dan menyebabkan kenaikan pada harga runcit petrol dan diesel.

"Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak ini, harga runcit petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada paras harga siling RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.

"Kerajaan pada masa ini menanggung subsidi pada kadar hampir 30 sen seliter dan ini bermakna kerajaan menanggung jumlah subsidi bernilai RM3 bilion pada harga semasa," katanya dalam perutusan khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga menanggung subsidi yang tinggi ke atas produk gas cecair petroleum (LPG).

"Harga sebenar di pasaran bagi setong gas LPG bersaiz 14 kilogram (kg) pada masa ini adalah sekitar RM50, namun harga runcit ditetapkan pada paras RM26.60 setong.

"Oleh itu, kerajaan memberi subsidi hampir 50 peratus bagi setiap tong LPG 14 kg yang digunakan oleh rakyat khususnya isi rumah dan kita akan terus memberi subsidi supaya harga barangan keperluan harian kekal berpatutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 7:47 PM