GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Niat seorang wanita mendapatkan khidmat urutan di sebuah pusat refleksologi di Taman Muda di sini, bertukar tragedi apabila menjadi mangsa seks tukang urut lelaki pada Ahad lalu.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 29 tahun ke premis berkenaan bersama teman lelakinya untuk diurut, namun dia tidak dimaklumkan tukang urut lelaki akan mengurutnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa kemudiannya menyalin pakaian dan memakai tuala yang disediakan sebelum meniarap.

"Tidak lama kemudian, seorang individu iaitu suspek masuk dan mula mengurut bahagian belakang badan mangsa.

"Selepas satu jam, mangsa diarahkan untuk memusingkan badannya untuk terlentang namun oleh kerana keadaan gelap, mangsa tidak dapat mengesahkan suspek adalah seorang lelaki atau perempuan selain itu, suspek juga berambut panjang," katanya kepada Harian Metro.

Mohamad Farouk berkata, suspek kemudian mula mengambil kesempatan ke atas mangsa menyebabkan wanita itu menepis tangan dan cuba menjerit.

"Suspek kemudian menutup mulut mangsa dan meminta wanita itu tidak menceritakan perkara berkenaan kepada sesiapa.

"Mangsa yang ketakutan terus keluar dari pusat refleksologi itu bersama teman lelakinya selepas membuat bayaran dan tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah kerana bimbang dengan keselamatan diri," katanya.

Beliau berkata, susulan daripada itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, menjalankan pemeriksaan di premis itu.

"Hasil pemeriksaan didapati lesen perniagaannya tamat tempoh pada 2020 dan masih belum diperbaharui dan menahan suspek berusia 28 tahun.

"Suspek direman bermula semalam hingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2013," katanya.

Katanya, pihak polis memberikan nasihat kepada orang ramai supaya berhati-hati semasa mengunjungi pusat refleksologi dan peka kepada keadaan persekitaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 6:58 PM