Buaya tembaga sepanjang tiga meter ditemui terperangkap di muara sungai berhampiran Kampung Parit Kangkung, Batu Pahat. Foto Ihsan Perhilitan
Buaya tembaga sepanjang tiga meter ditemui terperangkap di muara sungai berhampiran Kampung Parit Kangkung, Batu Pahat. Foto Ihsan Perhilitan
Oleh Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor masih memburu seekor buaya tembaga betina yang terperangkap di muara sungai berhampiran dengan Kampung Parit Kangkung dekat sini, hari ini.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, buaya itu diburu kerana dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk.

"Kami menerima aduan daripada penduduk kampung berkenaan pada Rabu lalu berkaitan kehadiran seekor buaya tembaga betina di sebuah ladang kelapa sawit.

"Kami juga mendapati ramai penduduk kampung datang ke lokasi itu bagi melihat sendiri keberadaannya.

"Kami bimbang, berlaku insiden tidak diingini seperti orang ramai atau kanak-kanak diserang reptilia terbabit," katanya ditemui di lokasi pemburuan.

Menurut Salman, Perhilitan akan menangkap dan memindahkan buaya itu ke habitat lebih sesuai.

"Kami cuba menangkapnya tadi namun ia melepaskan diri ke tempat lain, mungkin terkejut dengan kehadiran ramai orang di habitatnya itu.

"Bagaimanapun, kami yakin akan dapat menangkapnya dalam dua atau tiga hari lagi. Ini kerana, buaya mempunyai tabiat pulang ke sarangnya dalam tempoh berkenaan bagi menjaga tempat tinggalnya itu atau telurnya," katanya.

Menurut Salman, buaya sepanjang kira-kira tiga setengah meter itu ditemui penduduk kampung ketika sedang mengeram telurnya.

"Kami turut menemui 56 telur buaya di sarang reptilia terbabit. Kami juga akan menjalankan proses simpan dan eram telur terbabit selama tiga bulan.

"Operasi ini membabitkan 13 kakitangan Perhilitan Negeri Johor, Batu Pahat dan Muar serta dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 4:53 PM