Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Tiga anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Muhammad Azam Md Eusoff selepas menerima permohonan Timbalan Pendakwa Raya S Sivaranjani mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu tiga anggota JPJ yang berpakaian lokap SPRM tiba di mahkamah pada 10.30 pagi dengan menaiki tiga kenderaan.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, tiga anggota itu antara sembilan penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang ditahan semalam.

TIGA anggota penguatkuasa JPJ diiringi anggota SPRM untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Georgetown. FOTO DANIAL SAAD
TIGA anggota penguatkuasa JPJ diiringi anggota SPRM untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Georgetown. FOTO DANIAL SAAD

Mereka disyaki menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lori milik syarikat mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2020.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 dan membabitkan isu salah laku.

Kesemua penguat kuasa JPJ itu membabitkan pelbagai gred termasuk pegawai kanan yang dipercayai bertugas di Pulau Pinang.

Setiap anggota penguat kuasa JPJ dipercayai menerima bayaran antara RM150 sehingga RM3,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 3:10 PM