Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin. FOTO ASYRAF HAMZAH
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin. FOTO ASYRAF HAMZAH
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kerajaan akan meneliti sebarang data klinikal dan maklumat membabitkan vaksin AstraZeneca yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa kejadian pembekuan darah oleh penerima vaksin itu di negara luar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata, ketika ini pengeluar vaksin itu memaklumkan tidak ada data yang menunjukkan kaitan langsung terhadap kes pembekuan darah di negara lain membabitkan vaksin berkenaan.

"Vaksin AstraZeneca belum lagi sampai di Malaysia dan belum digunakan lagi di sini. Dalam tempoh masa sehingga ia tiba, kita akan melihat kepada maklumat data klinikal berkenaan kejadian itu.

"Apabila pakar membuat rumusan berkenaan isu ini, kita akan umumkan nanti. Buat masa ini, kita tidak ada pendirian lain (berhubung vaksin berkenaan)," katanya pada sidang media mingguan Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19, tadi.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beberapa negara Eropah seperti Austria, Estonia, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Denmark dan Ireland selain Thailand di Asia Tenggara, mengumumkan menggantung pemberian vaksin berkenaan kepada penduduk di negara masing-masing susulan beberapa kes pembekuan darah yang dialami penerimanya.

Austria sebelum ini mengumumkan penggantungan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas seorang jururawat berusia 49 tahun meninggal dunia disebabkan masalah pembekuan darah yang teruk, beberapa hari selepas menerima suntikan.

Bagaimanapun, AstraZeneca kemudian mengeluarkan kenyataan menyatakan selepas meninjau data keselamatan lebih daripada 17 juta yang menerima pelalian di negara Kesatuan Eropah dan United Kingdom (UK), ia mendapati tiada bukti peningkatan risiko embolisme pda paru-paru, trombosis saraf dalam (DVT) atau trombositopenia, dalam mana-mana kumpulan umur, jantina, kumpulan atau negara tertentu.

Sementara itu, Dr Adham berkata, KKM yakin dengan penilaian Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) terhadap vaksin yang diperolehi ketika ini termasuk keluaran AstraZeneca.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Adham berkata, mesyuarat Kabinet Rabu ini akan memutuskan mengenai Tabung Mudarat Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan sebagai satu mekanisma untuk mengatasi mudarat akibat pelalian yang dijalankan terhadap penduduk di negara ini.

"Ia bukanlah satu pampasan," katanya.

Pengumuman mengenainya dijangka dibuat pada minggu depan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 6:12 PM