Gambar Hiasan. FOTO NSTP.
Gambar Hiasan. FOTO NSTP.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Penerima vaksin yang dijadualkan menerima suntikan di fasiliti kesihatan swasta tidak perlu membayar sebarang caj.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, caj itu sebaliknya akan ditanggung oleh kerajaan.

Katanya, penggunaan fasiliti kesihatan swasta terpakai kepada premis yang terbabit Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Ini juga adalah intipati perjumpaan saya dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) nanti dan pengamal perubatan am juga sedang disenaraikan di bawah Protect Health Corp Sdn Bhd, Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya pada sidang media mingguan Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu juga berkata, penerima vaksin akan dihantar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdasarkan alamat yang mereka daftarkan untuk keperluan berkenaan.

"Jika alamat penerima berdekatan PPV di fasiliti kesihatan swasta, mereka akan dijadualkan mendapat vaksin di kemudahan berkenaan dan begitu juga sebaliknya," katanya yang memberitahu langkah itu bagi memudahkan pelaksanaan vaksinasi dalam masyarakat.

Terdahulu, Khairy berkata, beliau akan mengadakan libat urus bersama-sama APHM pada Rabu ini untuk membincangkan pembabitan hospital swasta dalam PICK.

Pada sidang media minggu lalu, Dr Adham dilapor berkata, pengamal perubatan swasta diberi peranan dalam pemberian vaksin Covid-19 fasa kedua dan ketiga PICK, pada April dan Mei ini.

Persetujuan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 6:05 PM