Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pemilik dan pengusaha hotel jangan bersekongkol dengan kegiatan pelacuran dijalankan dalam premis perniagaan mereka.

Setiausaha Kehormat Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) dan Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saftta), Dr Fathir Badri Alhadad berkata, sebaliknya mereka yang perlu menghalang dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mengesyaki wujud cubaan menjadikan hotel sebagai markas pelacuran.

Menurut Dr Fathir, kerjasama pemilik dan pengusaha amat hotel amat perlu dalam menjaga nama baik negara yang dikenali sebagai destinasi pelancongan Muslim.

"Kegiatan ini seharusnya dibanteras daripada awal kerana sebelum adanya pandemik Covid-19, Malaysia menerima banyak kehadiran pelancong daripada Arab Saudi dan negara timur tengah.

"Jadi, kita tidak mahu kegiatan tidak bermoral itu memberi persepsi buruk dalam kalangan pelancong luar.

"Lebih buruk lagi jika kegiatan itu yang menjadi imej atau tarikan mereka (pelancong) datang ke sini hingga dikenali sebagai pusat kegiatan pelacuran seperti beberapa destinasi popular di negara jiran," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Dr Fathir, setakat ini, pihaknya tidak menerima aduan daripada orang ramai berhubung kegiatan itu.

"Lazimnya, aduan seperti itu akan disalurkan terus kepada pihak berkuasa.

"Namun, saya percaya kegiatan itu masih ada, malah terus berleluasa cuma modus operandinya saja berbeza iaitu secara sindiket atau berseorangan.

"Ada kemungkinan, 90 peratus pemilik hotel terutama yang bertaraf bajet tahu mengenainya, tetapi berdiam jadi kerajaan perlu lebih tegas dalam usaha membanteras kegiatan itu secara total," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 6:50 AM