Ahmad Ismail


Segamat: Mahu halau monyet dan babi hutan antara alasan yang digunakan pemilik motosikal yang disaman dalam Op Ekzos Bising di Jalan Genuang, dekat sini, kelmarin.

Lelaki berusia 35 tahun itu merayu tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana mendakwa ekzos motosikalnya tidak pernah mengganggu ketenteraman sebaliknya untuk menghalau haiwan liar yang menceroboh kebunnya

Bagaimanapun, alasannya itu tidak dilayan sebaliknya polis mengeluarkan saman dan disita selepas pemeriksaan tahap bunyi ekzos dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, dalam operasi khas itu sebanyak 41 motosikal diperiksa di sekitar Segamat sejak 1 Mac hingga kelmarin.

Menurutnya, sebanyak sembilan motosikal didapati gagal ketika pemeriksaan pencemaran bunyi oleh JAS.

Katanya, sepanjang operasi selain mendisiplinkan penunggang motosikal, ia turut memberikan tumpuan kepada pemilik yang melakukan ubah suai kenderaan terutamanya ekzos.

"Pemilik motosikal yang dikenakan tindakan kesalahan atas ubah suai ekzos perlu memasang semula ekzos asal jika mahu menuntut kenderaan yang disita.

"Operasi ini mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat setempat. Ia akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi kesedaran kepada penunggang motosikal supaya mematuhi undang-undang.

"Jangan sambil lewa melanggar undang-undang dengan melakukan pengubahsuaian spesifikasi motosikal kerana mendatangkan ketidakselesaan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 4:52 PM