SUSPEK yang diberkas bersama sisik tenggiling dan peralatan mencuri kayu gaharu
SUSPEK yang diberkas bersama sisik tenggiling dan peralatan mencuri kayu gaharu
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Dua pemburu haram warga Kemboja diberkas kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan Rabu lalu, ketika sedang memburu haiwan tenggiling.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, hasil tangkapan dua suspek itu, pihak berkuasa menemui 19 keping sisik tenggiling yang disimpan tanpa kebenaran sah daripada pihak Perhilitan.

Menurutnya, suspek dipercayai turut melakukan kegiatan mencuri kayu gaharu berdasarkan penemuan peralatan digunakan.

"Aktiviti pemburu haram adalah jenayah dan ancaman kepada hidupan liar negara. Jabatan Perhilitan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan atas kerjasama menumpaskan kegiatan itu.

"Laporan polis dilakukan dan semua barang kes dibawa ke Jabatan Perhilitan Kuala Krai, Kelantan untuk tindakan lanjut.

"Saya harap usaha membasmi pemburu haram diteruskan demi kelestarian spesies hidupan liar di Malaysia," katanya tadi.

Difahamkan sisik tenggiling boleh dijual sehinga mencecah RM10,000 sekilogram di pasaran gelap.

Pada 8 Mac lalu, polis Kelantan menemui dua senapang dan pistol yang dibuang pemburu haram ke dalam Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Ibrahim Ali dekat Tendong, Pasir Mas.

Senapang patah, rifel AK47 dan pistol itu dipercayai dibuang dua suspek ke dalam sungai berkenaan bagi melupuskan bukti kegiatan pemburuan mereka.

Senjata api itu ditemui pada 5 Mac lalu hasil bantuan Unit Selam Skuba Pasukan Polis Marin (PPM).

Difahamkan polis menahan lima lelaki berusia antara 30 hingga 59 tahun yang dipercayai memiliki senjata api secara haram dalam beberapa serbuan berasingan di Gua Musang, Machang dan Pasir Mas.

Siasatan mendapati semua suspek dipercayai memiliki senjata api untuk tujuan kegunaan sendiri, termasuk memburu secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 8:33 PM