ROSOL (tengah) menyampaikan sijil kepada ahli PPPBM. FOTO YUSMIZAL DOLAH ALING
ROSOL (tengah) menyampaikan sijil kepada ahli PPPBM. FOTO YUSMIZAL DOLAH ALING
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tiada khidmat orang tengah digunakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mempromosi apa jua produk atau mengeluarkan lesen jualan langsung ketika Covid-19.

Malah, kementerian mempunyai kakitangan mencukupi dalam memastikan semua maklumat daripada pelbagai pihak didengari dan diambil tindakan segera.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan dakwaan pihak ketiga kononnya membantu mereka dalam kesusahan.

Beliau berkata, ini kerana pegawai berkaitan akan turun padang mendengar sendiri keluhan usahawan terutama perusahaan kecil bagi mendapatkan maklumat tepat.

"Kami menerima aduan daripada usahawan jualan langsung mengenai ada pihak mendakwa sebagai perunding bagi pihak kementerian.

"Ia tidak benar sama sekali, kita tidak pernah melantik perunding untuk promosi atau jualan produk atau mendapatkan lesen jualan langsung.

"Tiada perunding, orang kanan atau mereka yang rapat dengan kementerian," katanya pada Program Santai Riders dan Truckers Bersama Pemimpin di Medan Selera Pasar Harian Selayang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam dan Presiden Persatuan Pakatan Pemandu Berhemah Malaysia (PPPBM), Nor Aizam Abd Kadir.

Rosol berkata, kerajaan berusaha gigih membantu orang ramai dan akan mendengar sendiri rintihan mereka yang terkesan.

"Saya sendiri bersama pegawai kementerian turun berjumpa dengan peniaga kecil, pengusaha kendara saji, tukang gunting rambut dan lain-lain untuk mengetahui masalah yang berlaku.

"Kalau ada mana-mana pihak yang tidak dikenali datang dan beritahu boleh bantu itu dan ini, bohong kerana pegawai kita sendiri turun dan periksa keadaan di bawah," katanya.

Justeru beliau berharap semua pihak agar bekerjasama untuk membantu masyarakat berdepan Covid-19 dengan sebaik mungkin.

"Insya-Allah, kita akan dapat melaluinya bersama-sama," katanya.

Pada majlis itu, PPPBM turut diberikan taklimat mengenai pinjaman disediakan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Negeri Selangor.

Ia meliputi kemudahan kepada usahawan untuk mendapatkan pembiayaan terutama mereka yang terjejas di dalam perniagaan ketika pandemik ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 10:59 PM