GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nazri Abu Bakar


Melaka: Seorang pekebun berusia 55 tahun kerugian RM150,000 selepas terpedaya dengan tawaran pajak tanah kebun durian yang tidak wujud di Tiang Dua, Mukim Ayer Molek di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, pada Oktober tahun lalu mangsa yang tinggal di Jementah, Segamat berminat memajak kebun durian seluas 6.5 ekar di Mukim Tiang Dua yang ditawarkan suspek menerusi media sosial.

Katanya, mangsa yang datang ke Melaka berjumpa dengan suspek dan dibawa ke kebun berkenaan.

"Selepas berbincang mangsa bersetuju untuk memajak selama lima tahun dengan nilai pajakan sebanyak RM150,000. Mangsa bersama suspek turut pergi ke pejabat Pesuruhjaya Sumpah di Jalan Panjang untuk menandatangani surat perjanjian dengan membuat bayaran tunai berjumlah RM150,000.

"Namun pada 9 Mac lalu, abang mangsa yang tinggal di Melaka memaklumkan tanah kebun itu bukan kepunyaan suspek sebaliknya milik orang lain. Menyedari ditipu mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir pada Rabu lalu," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku, pihak polis menasihati orang ramai sentiasa berhati -hati dengan tawaran pajakan tanah yang diiklankan di media sosial.

Orang ramai juga dinasihati supaya membuat semakan ke atas nombor telefon yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau dengan memuat turun aplikasi "Check Scammer CCID" di Google Play Store untuk mengelakkan diri dari jadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 3:59 PM