Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Pergerakan merentas negeri hanya untuk pelancongan domestik dibenarkan bermula esok membabitkan negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, hanya kenderaan pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) dibenarkan manakala penggunaan kenderaan persendirian masih dilarang.

"Mereka perlu menggunakan syarikat pelancongan berdaftar dengan Motac.

"Bagi mereka yang perlu melalui negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kenderaan ini mesti meneruskan perjalanan tanpa berhenti di negeri itu.

"Kita hanya membenarkan kenderaan berdaftar dengan Motac bagi memudahkan polis membuat pemantauan pergerakan," katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.

KERAJAAN bersetuju menukarkan status Pulau Langkawi kepada PKPP bermula esok. FOTO BERNAMA
KERAJAAN bersetuju menukarkan status Pulau Langkawi kepada PKPP bermula esok. FOTO BERNAMA

Ismail Sabri berkata, lokasi penginapan juga perlu ditetapkan syarikat pelancongan seperti tercatat dalam surat kebenaran merentas negeri bagi memudahkan polis membuat pemeriksaan.

"Tidak perlu individu yang pergi (surat kebenaran), kalau dia ada bas pelancongan membawa 40 orang, agensi berkenaan yang akan memohon kebenaran kepada polis dengan disertakan semua senarai nama peserta rombongan" katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menukarkan status Pulau Langkawi kepada PKPP bermula esok.

"Memandangkan Pulau Langkawi adalah zon hijau dengan dua kes terakhir direkodkan pada 20 Februari lalu, kita bersetuju menukarkan Pulau Langkawi dari PKPB ke PKPP.

"Kebenaran gelembung domestik ini juga terpakai untuk Pulau Langkawi bagaimanapun Kedah masih kekal PKPB," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 6:16 PM