GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sudah mengarahkan semua pusat pemberian vaksin (PPV) untuk mengagihkan lebihan dos vaksin Covid-19 tidak terpakai kepada kawasan lain yang masih belum selesai menjalankan pelalian terhadap petugas barisan hadapan dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sebelum ini menerima makluman pada 4 Mac lalu mengenai sebuah PPV sudah menjalankan pelalian terhadap semua petugas barisan hadapan kesihatan di kawasan berkenaan, kemudian menyenaraikan mereka bukan tergolong dalam kalangan individu sepatutnya mendapat dalam fasa pertama PICK.

Beliau berkata, selepas meneliti aduan berkenaan, pihaknya mengambil tindakan membatalkan semua temujanji terhadap pihak yang tidak tersenarai dalam fasa pertama itu.

"Ini adalah contoh bagaimana semua aduan pemberi maklumat diambil tindakan.

"Saya sudah mengarahkan supaya dos berkenaan diberikan ke kawasan yang masih belum selesai lagi pemberian vaksin Covid-19," katanya pada sidang media mingguan PICK, di sini, hari ini.

Sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba itu turut disiarkan secara maya melalui aplikasi zoom.

Khairy yang juga pengerusi jawatankuasa itu, berkata, ia antara lebih 200 aduan diterima pihaknya mengenai pemberian vaksin Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, semua identiti pemberi maklumat juga dirahsiakan.

Katanya, ada antara aduan itu tidak menyertakan bukti, ada mempunyai bukti namun selepas disiasat nama diadukan sememangnya tersenarai untuk mendapat vaksin pada fasa pertama selain ada yang memang diberikan keutamaan baharu seperti kakitangan di Jabatan Kecemasan di hospital sebelum ini tidak termasuk dalam keutamaan awal.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 7:03 PM