SAHIMI (kiri) bersama kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan bacaan pengeluaran bunyi selepas melakukan ujian ke atas sebuah motosikal yang disita pada Operasi Ekzos Bising di Plaza Tol Batu 9, Kajang. FOTO Aswadi Alias
SAHIMI (kiri) bersama kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan bacaan pengeluaran bunyi selepas melakukan ujian ke atas sebuah motosikal yang disita pada Operasi Ekzos Bising di Plaza Tol Batu 9, Kajang. FOTO Aswadi Alias
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kajang: Nampak lebih 'garang' dan memastikan pemandu lain mengetahui kehadiran motosikal di jalan raya. Itu antara alasan yang sering digunakan penunggang motosikal untuk 'menghalalkan' pengubahsuaian ekzos.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, bermula 1 Mac lalu sebanyak 577 saman dikeluarkan atas kesalahan pengubahsuaian ekzos motosikal.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 414 motosikal disita polis dan perlu ditukar kepada spesifikasi asal sebelum dibenarkan untuk dituntut pemilik.

"Sepanjang operasi, ada pemilik gunakan alasan motosikal lebih menarik dan mudah pemandu lain mengetahui kehadiran mereka jika menggunakan ekzos bising.

"Namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan tindakan mereka untuk melakukan pengubahsuaian," katanya dalam sidang media dalam operasi bersepadu di Plaza Tol Batu 9, di sini, hari ini.

Operasi sama turut dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Dalam operasi itu, sebanyak 107 saman dikeluarkan polis, JPJ (121 saman), JAS (tiga kompaun).

Beliau berkata, operasi ekzos bising ini mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat setempat.

Katanya, operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi kesedaran kepada penunggang motosikal agar mematuhi undang-undang.

"Jangan sambil lewa melanggar undang-undang dengan melakukan pengubahsuaian spesifikasi motosikal.

"Ia bukan saja bahaya kepada penunggang dan pembonceng malah mendatangkan ketidakselesaan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 6:24 PM