GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan fardu di negeri ini dengan bilangan jemaah 50 peratus daripada kapasiti masjid bermula esok.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kuliah Subuh, Maghrib, Dhuha termasuk kelas al-Quran juga dibenarkan dengan kebenaran 30 peratus daripada kapasiti serta keluasan masjid.

Katanya, perkara berkenaan mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan solat Jumaat dan fardu dikekalkan sebagaimana yang dikeluarkan sebelum ini termasuklah kedudukan antara jemaah adalah berdasarkan penjarakan satu meter," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, MAIK amat mengharapkan kerjasama mematuhi semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini, dan SOP yang dinyatakan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musolla.

"Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 5:02 PM