Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Hassan Omar


Masjid Tanah: Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyerahkan isu penolakan kerjasama UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kepada pucuk pimpinan UMNO.

Beliau berkata, biarlah pucuk pimpinan UMNO dan Majlis Tertinggi (MT) mengambil tindakan lanjut mengenai isu berkenaan manakala beliau sendiri lebih menumpukan usaha untuk mentadbir dan memajukan negeri.

"Kita boleh bercakap fasal politik 24 jam tanpa henti tetapi saya tidak mahu bercakap mengenainya sekarang kerana bagi saya, ada terlalu banyak kerja, selain kerja politik yang harus saya selesaikan.

"Dalam keadaan kita masih bergelut dengan pandemik Covid-19 ini, biarlah saya tumpukan usaha membantu memutuskan rantaian pandemik ini dan memajukan Melaka," katanya selepas meninjau operasi Pasar Tani Masjid Tanah, di sini, tadi.

Beliau diminta mengulas tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menghantar surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden BERSATU memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15.

Surat bertarikh 26 Februari 2020 itu juga menyatakan UMNO terus bersama-sama kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga pembubaran Parlimen.

Kelmarin Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata, parti itu memandang serius pendirian UMNO dan surat Ahmad Zahid berhubung kerjasama berkenaan memberi implikasi besar kepada kerjasama masa depan di antara UMNO, BERSATU dan PN.

Hamzah berkata, BERSATU akan terus fokus memperkasa gerak kerja bersama rakan dalam PN iaitu PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan GERAKAN, berlandaskan perjuangan yang jujur serta ikhlas kepada rakyat bagi memenangi PRU-15.

Sulaiman berkata, sebagai sebuah pasukan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang turut dianggotai dua pemimpin BERSATU, iaitu EXCO Badan Bukan Kerajaan, Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan EXCO di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Noor Effandi Ahmad akan terus memantapkan usaha memajukan negeri.

Sehubungan itu, aspek mengenai politik akan menjadi bahan utama perbualannya apabila menjelang PRU-15, katanya.

"Apabila pilihan raya menjelma, kita akan bercakap mengenai politik tetapi buat masa ini, biarlah kita bekerja dan terus bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 3:51 PM