Siti Rohana Idris


Tumpat: Pelaksanaan peti dan buku log lawatan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) khususnya di stesen minyak berhampiran sempadan dilihat mampu mencegah penyelewengan bahan bakar bersubsidi ke negara jiran.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengenalan langkah itu menunjukkan kepada pengguna serta pengusaha stesen minyak bahawa penguatkuasa KPDNHEP sentiasa memantau aktiviti perdagangan.

"Langkah ini secara tidak langsung akan memberi mesej yang jelas kepada pelaku kesalahan untuk tidak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang," katanya ketika sidang media selepas pelaksanaan peti dan buku log lawatan penguatkuasa di sini, hari ini.

Alexander berkata, sehingga November 2020, terdapat 281 stesen minyak berhampiran sempadan negara.

Beliau turut melancarkan Kempen Norma Baharu Covid-19 Sektor Peruncitan di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.

Katanya, bagi menyokong pelaksanaan norma baharu itu, KPDNHEP menyeru peniaga beralih kepada sistem pembayaran digital seperti e-dompet atau kad debit.

ALEXANDER (tengah) diiringi Ketua Setiusaha Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad ketika pelancaran Pelaksanaan Peti dan Buku Log lawatan penguatkuasa KPDNHEP. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ALEXANDER (tengah) diiringi Ketua Setiusaha Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad ketika pelancaran Pelaksanaan Peti dan Buku Log lawatan penguatkuasa KPDNHEP. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 12:55 PM