ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan Operasi Bersepadu di sebuah apartmen di Pudu, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan Operasi Bersepadu di sebuah apartmen di Pudu, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 205 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu di sebuah apartmen di Pudu, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, seramai 117 pegawai dan anggota JIM, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terbabit dalam operasi bermula jam 11.30 malam itu.

"Operasi dilakukan susulan aduan mengenai lambakan warga asing di empat blok apartmen ini sejak 2018. Malah, kami pernah membuat serbuan di apartmen berkenaan pada 2018.

"Dalam operasi ini, kami memeriksa 425 warga asing. Daripada jumlah itu, kami menahan 205 PATI berusia antara 20 hingga 40-an yang didapati tinggal lebih masa serta tiada dokumen perjalanan diri.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Nepal bekerja sebagai buruh di tapak binaan berhampiran serta pengawal keselamatan," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

Hamidi berkata, kebanyakan PATI yang ditahan memberi alasan tinggal lebih masa kerana tiada majikan selepas dibuang kerja, selain tiada pekerjaan untuk menyambung permit akibat penularan Covid-19.

"Pemeriksaan mendapati kebanyakan warga asing berkenaan tinggal dalam keadaan selesa di dalam tiga bilik dengan jumlah penghuni antara enam hingga tujuh individu bagi setiap rumah.

"Semua PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk proses dokumentasi. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 10:13 AM