Pasukan dari Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak menyita 19 motosikal atas kesalahan ubah suai ekzos ketika Op Khas Kesalahan Bunyi Bising. FOTO IHSAN JSPT Perak
Pasukan dari Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak menyita 19 motosikal atas kesalahan ubah suai ekzos ketika Op Khas Kesalahan Bunyi Bising. FOTO IHSAN JSPT Perak
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak sudah menyita 19 motosikal atas kesalahan ubah suai ekzos di sepanjang Op Khas Kesalahan Bunyi Bising.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, operasi di seluruh Perak bermula 1 Mac hingga 14 Mac ini itu dijalankan oleh JSPT Perak secara bersepadu dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menerusi sekatan jalan raya.

"Sepanjang operasi berkenaan sehingga ke hari ini, kita sudah menyita 19 motosikal atas kesalahan ubah suai ekzos.

"Mereka yang melakukan kesalahan berkenaan berusia antara 16 hingga 40 tahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zakaria berkata, menerusi operasi itu, sebanyak 679 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Setiap pemilik kenderaan yang disita atas kesalahan ubah suai ekzos juga turut perlu memasang semula ekzos asal jika mahu menuntut kenderaan yang telah disita sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 9:05 AM