GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Gurun: Bermula hanya menoreh getah, bapa kepada tujuh anak berjaya memanfaatkan ladangnya dengan menanam anggur premium berasal dari negara-negara empat musim.

Tan Soon Huat, 58, dari Kampung Baru Padang Lembu, di sini, berkata dia sudah menanam kira-kira 20 jenis anggur yang terkenal dari seluruh dunia antaranya Amerika Syarikat, Jepun, Israel dan China.

Bagaimanapun, katanya, kejayaannya itu tidak datang bergolek kerana terpaksa berdepan cabaran berikutan keadaan cuaca panas dan udara yang lembab di negara ini.

"Saya tidak mempunyai ijazah mahupun latar belakang akademik, dan membantu orang tua menoreh getah sejak di bangku sekolah dan belajar setakat Tingkatan Lima.

"Namun, kerana minat mendalam dalam pertanian, saya melakukan penyelidikan sendiri mengenai buah anggur ini dengan membaca di internet dan bertanya rakan-rakan yang pakar dalam tanaman anggur ini.

"Ilmu berkenaan dijadikan asas untuk memahami sifat anggur di negara mereka, dan selebihnya saya kaji sendiri untuk sesuaikan dengan keadaan cuaca di Malaysia," katanya ketika ditemui di kebun anggurnya seluas hampir satu hektar.

Tan berkata, dia mula menanam anggur berkenaan sejak tiga tahun lalu dengan teknik buatan empat musim.

Katanya, antara teknik itu ialah memaksa tanaman untuk 'tidur' seperti berada di tahap 'hibernasi' semasa musim sejuk dan membangunkannya dengan anggapan berada pada musim bunga dan musim panas disokong oleh vitamin dan formulasi baja organik yang dihasilkan sendiri.

"Tanaman anggur tidak menyukai hujan, jadi saya bina tempat perlindungan untuk pokok anggur dan mengawal jumlah air selain melakukan proses penipisan dan pemangkasan untuk memberi ruang untuk tanaman tumbuh.

"Antara anggur yang ditanam ialah jenis shine musket dari Jepun yang hanya boleh didapati di pasar raya besar di ibu negara pada harga antara RM500 hingga RM600 sekilogram.

"Selain itu, saya turut tanam anggur jenis kyoho juga dari Jepun, golden musket dan black beauty dari Israel, dan Sweet Sapphire dari California, Amerika Syarikat," katanya.

Tan berkata, oleh kerana Malaysia mempunyai kadar kelembapan yang tinggi, dia akan memastikan buah anggur yang tumbuh dibungkus bagi mengelak serangan haiwan perosak dan kulat.

"Buat masa sekarang, saya masih melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri dengan mencatat data setiap perkembangan pokok anggur yang ditanam.

"Sudah tiga tahun berlalu, sehingga kini saya masih jalankan R&D untuk dapatkan hasil terbaik. Daripada buah anggur yang ada biji, saya berjaya minimumkan jumlah biji atau tiada langsung biji dan menghasilkan buah yang lebih manis berbanding negara asal.

"Saya tidak berniat untuk menjual buah anggur ini, sebaliknya akan menjual anak pokok, input serta ilmu teknikal," katanya.

Katanya, dia juga berharap untuk melihat lebih ramai petani menanam anggur dan seterusnya penduduk Malaysia dapat menikmati buah berkenaan dengan lebih selamat tanpa bahan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 10:10 PM