MAYAT warga emas ditemui terapung di Sungai Rajang, hari ini. FOTO ihsan bomba.
MAYAT warga emas ditemui terapung di Sungai Rajang, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Mohd Roji Kawi


Belaga: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Rumah Aging, Long Daah, di sini, sejak petang Selasa lalu, ditemukan lemas, hari ini.

Mayat mangsa, Ngo Lalo, 84, ditemukan terapung di Sungai Rajang pada 5.23 petang di Kampung Seberang Melayu, di sini iaitu kira-kira 2.5 kilometer dari kediamannya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pengecaman dilakukan sebaik mayat mangsa dibawa ke jeti berhampiran dan keluarganya mengesahkan ia adalah mangsa yang dilaporkan hilang.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan laporan polis, kali terakhir mangsa dilihat ketika keluar dari rumahnya pada 4 petang, Selasa lalu.

"Dia tidak kelihatan selepas itu dan penduduk berusaha mencarinya, namun gagal," katanya dalam satu kenyataan, malam ini .

Berikutan itu, laporan kehilangan mangsa dibuat anaknya di Balai Polis Belaga pada 11.20 pagi, Rabu lalu.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu yang menerima maklumat kehilangan mangsa, menghantar sepasukan anggota untuk melaksanakan misi mencari dan menyelamat pada Khamis.

Bagaimanapun, anggota bomba terpaksa menempuh perjalanan sejauh 220 kilometer dari Bintulu untuk ke lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 9:38 PM