SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu di Pasar Borong Selangor. FOTO ihsan polis
SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu di Pasar Borong Selangor. FOTO ihsan polis
Amir Abd Hamid


Serdang: Seramai 88 warga asing dari pelbagai negara ditahan dalam Op Bersepadu Khas dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di Pasar Borong Selangor, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan membabitkan warganegara Myanmar (78), Bangladesh (lapan) dan masing-masing seorang dari Nepal serta Indonesia.

Beliau berkata, operasi 9 pagi membabitkan sepasukan 10 pegawai dan 92 anggota itu dilakukan selepas mendapat maklumat awam dan risikan.

"Berdasarkan maklumat risikan dijalankan, kebanyakan warga asing yang berada di Pasar Borong Selangor menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

"Di samping itu, kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah.

"Pihak IPD Serdang sentiasa membuat pemantauan segala aktiviti di Pasar Borong Selangor terutama membabitkan warga asing," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan berumur antara 20-50 tahun itu dibawa ke IPD Serdang dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Menurutnya, sabit kesalahan mengikut seksyen itu boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.

"Tindakan seumpamanya bertujuan mencegah aktiviti jenayah membabitkan warganegara asing di Pasar Borong Selangor.

"Dalam operasi itu, pihak IPD Serdang mensasarkan lot dikenal pasti mempunyai pekerja warga asing dipercayai tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri sah.

"Jumlah keseluruhan lot perniagaan terdapat di Pasar Borong Selangor adalah 320 lot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 8:47 PM