APMM Kuala Perlis berjaya mengagalkan cubaan menyeludup keluar 400 kg daun ketum bernilai RM72,000 di pantai Kuala Perlis hari ini. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
APMM Kuala Perlis berjaya mengagalkan cubaan menyeludup keluar 400 kg daun ketum bernilai RM72,000 di pantai Kuala Perlis hari ini. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 400 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM72,000 selepas menahan sebuah bot di perairan Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, kejadian berlaku pada 6.30 pagi ketika bot peronda APMM sedang melakukan rondaan di barat pantai Kuala Perlis.

"Ketika berada di kedudukan 0.1 batu nautika, anggota mengesan seorang lelaki sedang mengemudi sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran menuju ke arah sempadan Thailand.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan menuju ke daratan berhampiran sebelum terjun ke laut dan meninggalkan bot.

"Suspek turut meninggalkan muatan dalam bot berkenaan dan berenang bagi melarikan diri ke hutan bakau," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 40 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum dengan anggaran nilai RM72,000.

"Kita percaya ia cuba diseludup keluar ke negara jiran menggunakan laluan laut," katanya memaklumkan bot fiber berserta enjin sangkut bergalah berkenaan turut dirampas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 8:13 PM