NOR AZELIN meninggal dunia selepas pengsan ketika melakukan aktiviti sukan bermotosikal di atas bukit belakang UUM. FOTO IHSAN BOMBA
NOR AZELIN meninggal dunia selepas pengsan ketika melakukan aktiviti sukan bermotosikal di atas bukit belakang UUM. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Setiausaha Umno Bahagian Kubang Pasu meninggal dunia selepas melakukan aktiviti motosikal lasak di kawasan berbukit berhampiran Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang, Nor Azelin Mansor, 53, dikatakan pengsan ketika melakukan aktiviti itu bersama rakan-rakannya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 2.09 petang.

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam diketuai Jamal Din dihantar ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba terpaksa mendapatkan bantuan pacuan empat roda penduduk kampung untuk naik ke atas bukit sejauh lima kilometer bagi membantu mangsa yang dikatakan pengsan ketika melakukan aktiviti sukan bermotosikal bersama rakan-rakannya

"Mangsa kemudian dibawa turun sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Katanya, jenazah Nor Azelin dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk tindakan lanjut.

"Saya terkejut ketika dimaklumkan berita ini dan dalam kini perjalanan ke hospital. Jenazah dijangka dibawa pulang ke rumahnya di Taman Bersatu, Jitra untuk urusan pengebumian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 8:04 PM