GAMBAR hiasan. FOTO AIZUDDIN SAAD
GAMBAR hiasan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Selangor terus kekal mencatatkan kes harian tertinggi jangkitan Covid-19 di negara ini dengan 794 kes daripada keseluruhan 2,154 kes, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes di Selangor itu membabitkan 666 kes (83.9 peratus) daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Beliau berkata, kes harian lain diikuti Johor (463 kes), Sarawak (250 kes), Pulau Pinang (119 kes), Perak (109 kes) dan Kuala Lumpur (108 kes).

"Catatan kes bagi negeri lain ialah Sabah (97 kes), Negeri Sembilan (77 kes), Kedah (sembilan kes), Melaka (10 kes), Kelantan (57 kes), Pahang (38 kes), Terengganu (16 kes), Putrajaya (empat kes), Labuan (dua kes) dan Perlis (satu kes).

"Sebanyak 81 kes (3.8 peratus) yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan kluster di penjara," katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan terkini Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, penularan jangkitan membabitkan kluster penjara ialah Kluster Tembok Tapah (39), Kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes) dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (11 kes).

Menurutnya, selain itu, Kluster Telok Mas (enam kes), Kluster Penjara Seberang Perai (enam kes), Kluster Tembok Taiping (empat kes), Kluster Damai Pelangi (satu kes) dan Kluster Tembok Sungai Udang (satu kes).

"Terdapat 10 kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu lapan kluster berkaitan tempat kerja dan masing-masing satu kluster membabitkan aktiviti keagamaan dan komuniti.

"Kluster berkaitan tempat kerja ialah Tapak Bina Jalan Zamrud (Selangor), Jalan Dato Sellathevan (Selangor), Industri Cheras Jaya (Selangor), Meranti Utama (Selangor), Kampung Nyatoh (Selangor dan Negeri Sembilan), Persiaran Alam (Kuala Lumpur), Jalan Mutiara Barat (Kuala Lumpur) dan Perusahaan 10 (Pulau Pinang)," katanya.

Beliau berkata, Kluster Jalan Senu adalah kluster aktiviti keagamaan membabitkan daerah Larut, Matang, dan Selama di Perak.

Menurutnya, kes indeks dalam kluster itu (kes ke-285,447) dilaporkan positif Covid-19 pada 22 Februari 2021 hasil saringan pra pembedahan.

Katanya, kluster berkenaan membabitkan aktiviti ceramah keagamaan berlangsung pada 19 Februari 2021 di Jalan Senu, Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak.

"Setakat hari ini sejumlah 52 individu disaring, 10 kes dikesan positif dalam Kluster Jalan Senu.

"Kluster komuniti pula adalah Kluster Kuala Punteh membabitkan daerah Keningau di Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 7:52 PM