DR NOOR HISHAM ABDULLAH
DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Selangor masih kekal menjadi negeri tertinggi melaporkan kes harian baharu positif Covid-19 iaitu sebanyak 630 kes (30.5 peratus) berbanding keseluruhan 2,063 kes yang direkodkan di seluruh negara hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes di Selangor, sebanyak 526 kes (83.5 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Kes kedua tertinggi, katanya, adalah Sarawak sebanyak 361 kes (17.5 peratus) dan diikuti Pulau Pinang sebanyak 337 kes (16.3 peratus).

"Sebanyak 99 kes (4.8 peratus) daripada keseluruhan kes hari ini dalam negara adalah berkaitan kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI).

"Ia membabitkan Kluster Tembok Tapah (57 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (19 kes), Kluster Tembok Mempaga (lima kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (lima kes), Kluster Tembok Bendera (lima kes), Kluster Tembok Bukit Besi (tiga kes), Kluster Penjara Seberang Perai (dua kes), Kluster DTI Sepang 2 (dua kes) dan Kluster Telok Mas (satu kes)," katanya.

Sementara itu, katanya, sejumlah 14 kluster baharu penularan jangkitan Covid-19 dikenal pasti hari ini.

"Ia membabitkan 12 kluster berkaitan tempat kerja dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan komuniti.

"Kluster tempat kerja ialah lima di Selangor iaitu Jalan Bukit Tiga, Jalan Damansara, Industri Subang, Jasmine Empat dan Lagenda Suria; empat di Johor membabitkan Jalan Distripark B, Jalan Maju Satu, Jalan Kabel Gemilang dan Batu 21.

"Dua di Pulau Pinang iaitu Tapak Bina Queens Waterfront dan Jalan Bukit Nenas serta satu di Negeri Sembilan iaitu Tapak Bina Nilam Sari," katanya.

Menurutnya, kluster komuniti adalah di Jalan Limau Manis, Johor dan kluster kumpulan berisiko tinggi pula Kluster Persiaran Kempas Baru, Johor.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 1,177 kluster direkodkan di negara ini.

"Jumlah kluster yang tamat adalah 687 kluster termasuk 11 kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Bukit Pasir, Kluster Tapak Bina Bukit Sebukor, Kluster Kampung Balibata, Kluster Jalan Usaha, Kluster Batu Enam, Kluster Persiaran Tanjung, Kluster Kampung Pahi, Kluster Jalan Seri, Kluster Taman Bahagia, Kluster Kampung Pulau Jawa dan Kluster Taman Amalina.

"Sebanyak 490 kluster masih aktif dengan kebolehjangkitan. Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini, 76 kluster," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Lorong Bakau (90 kes), Kluster Jalan Kebun Nenas (90 kes) dan Kluster Tapak Bina Queens Waterfront (87 kes).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 7:53 PM