PRODUK herba dari China yang dirampas Maqis Johor, semalam. FOTO ihsan Maqis
PRODUK herba dari China yang dirampas Maqis Johor, semalam. FOTO ihsan Maqis
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebanyak 4,881.50 kilogram ubatan herba dari China bernilai RM446,882.17 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor, tengah hari semalam.

Dalam kejadian 12.45 tengah hari itu, barang dagangan iaitu 'Medicinal Herbs' ditahan di laluan kargo import di Bangunan Sultan Iskandar, di sini.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, barang dagangan itu tidak mematuhi syarat import seperti ditetapkan pihaknya.

"Hasil pemeriksaan rutin dilakukan pegawai Maqis mendapati barang dagangan seberat 4,881.50kg dianggarkan bernilai RM446,882.17.

"Pemandu lori berusia 45 tahun yang membawa muatan itu dibebaskan selepas keterangannya diambil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana tidak mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 10:59 PM