HARIS menjadi penerima pertama pada proses simulasi pemberian vaksin Covid-19 yang diadakan di IPD penampang hari ini. FOTO ihsan PDRM
HARIS menjadi penerima pertama pada proses simulasi pemberian vaksin Covid-19 yang diadakan di IPD penampang hari ini. FOTO ihsan PDRM
Juwan Riduan


Penampang: Simulasi pemberian suntikan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sini, hari ini berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, IPD itu terpilih menjadi antara lokasi pusat suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama kepada petugas barisan hadapan.

Katanya, simulasi diadakan untuk pendedahan kepada 800 penerima yang akan menerima suntikan vaksin itu pada 15 Mac depan.

"Selain anggota dan pegawai polis, suntikan di pusat ini akan turut diterima warga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan beberapa lagi agensi barisan hadapan lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris dijangka mengetuai penerima suntikan itu dengan tempoh pemberian suntikan berlangsung tiga hari hingga 18 Mac.

Terdahulu, simulasi berkenaan yang diselia Kementerian Kesihatan turut dihadiri Pegawai Daerah Penampang, Henry Idol.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 6:30 PM