KOTAK kayu yang berisi buah-buahan berkenaan. FOTO Ihsan PPM.
KOTAK kayu yang berisi buah-buahan berkenaan. FOTO Ihsan PPM.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau : Pasukan Polis Marin (PPM) merampas lebih enam tan buah-buahan bernilai RM30,600 disyaki cuba diseludup dari negara jiran menerusi Ops Gelora Khas, di perairan Pulau Sidam, dekat sini, petang Isnin lalu.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, sepasukan anggota bot ronda PSC 14, diketuai Inspektor Awang Faidzrus Awang Mohamad mengesan sebuah bot jongkong dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail, berkata pemeriksaan awal ke atas bot jongkong mendapati ia sarat dengan muatan kotak kayu yang ditutup menggunakan kanvas.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kotak kayu berkenaan mengandungi buah-buahan disyaki cuba diseludup masuk dari Indonesia.

"Siasatan keatas juragan tempatan bersama pembantunya masing-masing berusia 20 dan 56 tahun itu juga gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada Jabatan Pertanian untuk membawa masuk buah-buahan berkenaan.

"Rampasan membabitkan 3,000 kilogram (kg) buah mangga, avokado (2,000kg), buah naga (1,000 kg) dan limau kasturi (400 kg) yang semuanya dianggarkan bernilai RM30,600 dan dipercayai untuk dipasarkan di daerah ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Jelas Mohd Nazari, rampasan itu adalah kejayaan kedua PPM Tawau selepas mematahkan cubaan penyeludupan buah-buahan jenis sama, pada 16 Disember tahun lalu.

"Perbuatan membawa masuk barang dagangan termasuk buah-buahan tanpa permit import adalah satu kesalahan serius.

"Kedua-dua suspek kita tahan untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Peraturan Kuarantin Tumbuhan (Import dan Eksport) 1981," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 8:21 AM