ROSOL pada sidang media selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Kuala Berang. FOTO BERNAMA
ROSOL pada sidang media selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Kuala Berang. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah menghantar permohonan kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) bagi membolehkan lebih 2,300 penguat kuasa menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa pertama.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, setakat ini penguat kuasa kementerian itu tidak disenaraikan sebagai petugas barisan hadapan yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19 dan menunggu giliran untuk mendapat suntikan vaksin sebagaimana orang awam.

Justeru, katanya, KPDNHEP sudah menghantar surat kepada Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk menyenaraikan penguat kuasa kementerian itu sebagai petugas barisan hadapan yang layak menjadi antara penerima vaksin terawal pada fasa pertama ini.

"Penguat kuasa KPDNHEP juga terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 kerana sentiasa turun ke lapangan untuk membuat pemantauan harga dan pemeriksaan kecukupan bekalan barang keperluan di semua peringkat perniagaan selain terbabit dalam penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat, PKP Diperketatkan dan PKP Pemulihan dilaksanakan di negara ini.

"Mereka juga sentiasa berurusan dengan pelbagai kelompok komuniti untuk menyelesaikan aduan dan laporan yang diterima bagi mengelak penindasan kepada pengguna oleh peniaga tidak bertanggungjawab.

"Setakat ini, mereka menunggu giliran sebagaimana orang awam, isu sekarang adalah tentang potong giliran jadi saya harap ia tidak berlaku. Siapa yang daftar dulu dia yang dapat suntikan.

"Saya berharap permohonan kita mendapat pertimbangan Mosti supaya penguat kuasa KPDNHEP dapat menerima suntikan vaksin pada fasa pertama ini," katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Berang di sini, hari ini.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, peniaga termasuk pekerja di pusat beli belah juga diseru mendaftarkan diri masing-masing untuk mendapatkan suntikan Covid-19 dengan segera bagi memutuskan rantaian wabak berkenaan.

Beliau berkata, ia penting kerana peniaga mudah terdedah dengan risiko jangkitan berikutan sering berurusan dengan orang ramai.

"Kita menyeru peniaga mendaftar segera untuk mengambil vaksin ini dan buat masa ini, kita tidak ada data jumlah peniaga yang sudah daftar tetapi lepas ini kita akan buat bagi memudahkan pemantauan dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Rosol turut menyeru masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan kumpulan tertentu yang menolak pengambilan vaksin termasuk vaksin Covid-19.

"Golongan anti-vaksin ini bukan saja Covid-19, BCG (imunisasi Bacillus Calmette Guerin) pun mereka tidak mahu ambil dan ia memberi kesan masa panjang.

"Kita harap rakyat tidak mendengar suara-suara tiada autoriti dan mereka tidak bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 4:46 PM