Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis bidas tohmahan segelintir pihak yang mempertikaikan tindakan mendedahkan perkembangan siasatan mengenai sindiket dadah yang didalangi individu bergelar Tan Sri dan Datuk kepada media.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa individu yang dimaksudkan tidak dapat lari daripada dijejaki memandangkan data lengkap mengenai mereka sudah diperoleh.

"Mereka sudah lama dalam pemerhatian (Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik) cuma hanya ada masalah untuk mengaitkan mereka terus (kepada sindiket). Insya-Allah kita akan dapat juga dan ambil (tindakan).

"(Kenyataan) itu bukan amaran kosong dan bertujuan merosakkan rancangan sedia ada, (sebaliknya) saya hanya ingin berkongsi dengan masyarakat bahawa ancaman dadah di negara ini cukup berat.

"Mereka ini bertindak sebagai 'funder' (pembiaya) yang menggerakkan aktiviti (kartel) dadah menggunakan orang kepercayaan. Usaha akan sia-sia jika kita hanya tangkap dan dakwa orang di lapisan bawah namun VVIP ini terlepas.

"Saya tidak mahu dituduh sebagai Ketua Polis Negara yang gagal menangani ancaman dadah apabila ia menular hingga membabitkan ratusan anggota polis sendiri. Tiada alternatif lain (melainkan mendedahkannya kepada umum)," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media semalam mengenai tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk yang disyaki dalang utama kartel dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini yang berada dalam pemerhatian polis.

Susulan pendedahan itu, banyak komen dari warganet sebagai mendakwa tindakan itu memberi kelebihan kepada individu yang disyaki terbabit lolos selain menghapuskan bukti.

Menurut Abdul Hamid, terdapat lebih lima sindiket dadah yang dikenal pasti didalangi VVIP berkenaan.

ABDUL HAMID BADOR
ABDUL HAMID BADOR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 4:34 PM