GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Putrajaya: Seorang lelaki hari ini gagal dalam rayuan akhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta lima sebatan kerana merompak seorang wanita bersenjatakan parang dengan merentap rantai leher dipakai mangsa, lima tahun lalu.

Ini berikutan keputusan tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang sebulat suara menolak rayuan dikemukakan Nor Azuwan Hafifi Md Akhir, 30, selaku perayu terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Julai 2019.

Perayu mengikuti prosiding rayuan itu melalui sidang video dari Penjara Kajang, manakala hakim-hakim berada di Istana Kehakiman di sini dan peguam serta Timbalan Pendakwa Raya berada di pejabat masing-masing.

Abdul Karim, yang bersidang bersama-sama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali berkata, selepas mempertimbang penghujahan kedua-dua pihak dan meneliti keterangan dalam rekod rayuan, mahkamah dapati tiada merit dalam rayuan Nor Azuwan.

"Harus dicatatkan bahawa di bawah Seksyen 391 Kanun Keseksaan, tanggungan atau liabiliti melakukan kesalahan ini secara berkumpulan adalah saksama. Sesiapa yang hadir membantu dan melibatkan diri dalam kesalahan ini memikul kesan yang sama dengan pihak lain.

"Dalam kes ini, mahkamah dapati tiada perlakuan atau peranan pasif oleh perayu. Keterangan jelas menunjukkan dia sebagai pemerhati di luar dengan parang dan juga telah memainkan peranan untuk menakutkan isteri dan anak jiran mangsa. Dalam kes ini, tidak boleh dikatakan perayu memainkan peranan yang pasif. Apa yang dilakukan oleh pihak yang lain menjadi perlakuan perayu," kata hakim itu.

Abdul Karim berkata, mahkamah juga mendapati hakim Mahkamah Sesyen dan hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan apa-apa kesilapan yang mewajarkan campur tangan mahkamah ini.

"Kami dapati hukuman yang dijatuhkan itu tidak terlampau tinggi dan tidak terlampau kurang. Oleh itu, kami menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan lima sebatan yang dijatuhi oleh kedua-dua mahkamah," katanya.

Nor Azuwan didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas melakukan rompak berkumpulan terhadap Zaiton Mukhtar, ketika kejadian berusia 58 tahun dengan merompak rantai leher berserta loket emas bernilai RM7,000 menggunakan tiga bilah parang yang jika digunakan boleh mengakibatkan kematian atau cedera parah di sebuah rumah di Puchong pada 6.45 petang, 18 April 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tania Arissa Andi Sanrang berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman terhadap perayu dan hukuman 12 tahun penjara dan lima sebatan perlu dikekalkan.

"Perayu telah merancang untuk melakukan rompakan dan kejadian berlaku lewat petang di kawasan perumahan di hadapan rumah di mana kanak-kanak sedang bermain. Mangsa yang dirompak adalah warga emas berusia 58 tahun dan semasa kejadian itu, perayu juga menggunakan sebilah parang dan menghala senjata itu kepada mangsa sebelum merentap rantai beserta loket yang dipakainya.

"Perayu juga merupakan 'peserta aktif' kerana dia memainkan peranan penting di luar bagi memastikan 'line clear' sebelum melakukan rompakan. Berdasarkan pertuduhan kes ini menunjukkan perayu memainkan peranan penting sama seperti rakan-rakannya yang masih bebas," katanya.

Sementara itu, peguam Mohd Faizi Abu, yang mewakili Nor Azuwan pula berhujah bahawa mahkamah terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman terhadap anak guamnya dan hukuman penjara 12 tahun adalah terlampau tinggi.

"Perayu dituduh melakukan kesalahan bersama dua lagi yang masih bebas. Dua orang ini adalah pelaku utama yang bertindak ganas melakukan jenayah," kata peguam itu.

Nor Azuwan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan terhadapnya yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 27 Sept 2018.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa prosiding pendengaran rayuan jenayah akan berkuat kuasa hari ini melalui teknologi komunikasi jarak jauh semasa tempoh pandemik Covid-19 dengan perayu yang juga banduan akan mengikuti prosiding berkenaan dari Penjara Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 4:19 PM