Gambar fail, kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Flat Sri Selangor di Kuala Lumpur.Foto BERNAMA.
Gambar fail, kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Flat Sri Selangor di Kuala Lumpur.Foto BERNAMA.
Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan mengakui berlaku peningkatan dalam jumlah rakyat Malaysia yang jatuh miskin kesan daripada pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia berdasarkan laporan dikemukakan Majlis Tindakan Ekonomi dalam mesyuarat yang dipengerusikannya setiap minggu.

"Saya sedar walaupun kerajaan sudah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, khususnya semasa pandemik, tapi masih ramai lagi yang menanggung kesusahan.

"Mereka yang sebelum ini berada dalam golongan berpendapatan tinggi (T20) sebahagiannya menjadi kumpulan berpendapatan sederhana (M40), manakala sebahagian kumpulan M40 pula menjadi kumpulan berpendapatan rendah (B40).

"Mereka yang berada dalam kumpulan B40 pula menjadi bertambah miskin kerana kesan penguncupan ekonomi yang sedang dialami oleh negara kita," katanya berucap pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Untuk itu, Muhyiddin berkata, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kemiskinan diwujudkan untuk meneliti masalah itu secara mendalam dan langkah boleh dilaksana bersama oleh kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan sukarela dan sektor swasta.

"Program pembasmian kemiskinan akan mengambil kira peningkatan Paras Garis Kemiskinan 2021 (PGK 2021) daripada RM980 kepada RM2,208, yang akan meningkatkan bilangan isi rumah miskin dan miskin tegar dan seterusnya meningkatkan bilangan kumpulan sasar," katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan akan mempertingkatkan aspek kawalan sempadan memastikan pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menambah baik pusat tahanan sedia ada dan memperketatkan kawalan kemasukan warga asing.

"Kawalan sempadan akan menjadi antara fokus kerajaan melalui transformasi pengurusan dan tadbir urus.

"Pendekatan lima sempadan hadapan atau five-front approach yang merangkumi sempadan utara Kedah, utara Kelantan, Selatan, Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan dengan menambah aset serta penggunaan peralatan yang berteknologi tinggi berbeza mengikut kesesuaian bentuk muka bumi di sempadan.

"Ini termasuklah penambahan pos kawalan, pagar sempadan, CCTV, radar dan dron yang berkapasiti tinggi," katanya yang memberitahu dasar dan perundangan berkaitan keselamatan akan diperkasa bagi mengukuhkan lagi aspek penguatkuasaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 12:04 PM